3 May 2011

Hadiah Nusaibah

Suatu hari di kedai makan, aku ternampak sebuah majalah bernama 'Aulad'. Ku belek-belek kandungannya. "Bagus, boleh beri pada Nusaibah supaya dia boleh belajar bahasa melayu dengan seronok. Banyak aktiviti dan cerita dalam majalah ni" kataku dalam hati. Kami sekeluarga baru pulang dari United Kingdom setelah bermusafir selama 3 setengah tahun. Kerana itulah anak-anakku tidak petah berbahasa melayu dan ini menyebabkan mereka berasa malu dan menyendiri ketika memulakan persekolahan di Malaysia.

Setelah membayar RM2 kepada tuan kedai, aku pun membawa majalah tersebut kepada Nusaibah. Anakku yang sedang makan itu tersengih-sengihdan sangat gembira menerima hadiah dariku. "Thank you Ummi", katanya. "Wow, there's so many activities in here. Alhamdulillah. Thank you Ummi", ujarnya lagi. "You're welcome, I hope you can learn lots of new Malay words Nusaibah..."kataku pada anakku itu.

Selang beberapa hari selepas itu, kutanyakan kepada Nusaibah tentang majalah Aulad yang telah diberikan. Samaada dia sudah melakukan aktiviti-aktiviti dalam buku tersebut atau tidak. "I already gave it to my friend, Nafisa because she liked it", ujar Nusaibah. "Nusaibah dah buat tak aktiviti dalam majalah tu?" tanyaku meminta kepastian. "Belum, but I gave it to Nafisa because she liked it" ulang Nusaibah. Dengan nada marah aku berkata "Kan Ummi suruh Nusaibah siapkan aktiviti dalam majalah tu supaya Nusaibah boleh belajar bahasa melayu?". Aku kesal dengan sikap Nusaibah ketika itu yang seolah-olah tidak mahu mengikut kataku. Suamiku yang kebetulan mendengar perbualan kami pun berkata "That's OK. That's very good Nusaibah. Allah will love you when you make other people happy". Aku hanya mendiamkan diri tanda kurang setuju. Peristiwa ini berlalu begitu sahaja dalam episod kehidupan kami.

"Eh ada pesta buku antarabangsalah minggu ni. Jom kita pegi nak?"tanyaku pada suami. Sudah lama kami sekeluarga tidak ke pesta buku. Inilah peluang untuk kami mencari buku-buku dengan harga yang lebih murah dan mendidik anak-anak kami untuk mencintai ilmu. Seperti yang kuduga, suamiku pun bersetuju. Lalu kami sekeluarga pun pergi ke PWTC. "Ramainya orang, maybe the book fair is fun" ujar anak kecilku Muadz yang sudah sedikit mahir berbahasa melayu. "Ramai orang datang sebab mereka semua suka baca buku" ujarku, membetulkan persepsi Muadz yang memikirkan bahawa orang ramai hanya akan buat sesuatu jika ianya seronok. Inilah salah satu pengaruh pemikiran Barat dalam diri anakku.

Memang ramai orang di pesta buku itu. Kami meredah ribuan manusia, melalui pelbagai booth penerbit buku tanpa mencari booth yang spesifik. Setelah 2jam lebih berjalan dan melihat anak-anak telahpun kepenatan, kami pun berjalan menuju ke salah satu dari lebih 3 pintu keluar. Tiba di booth terakhir sebelum pintu keluar, tiba-tiba mataku terpandang kepada majalah Aulad edisi terkini di sebuah rak. "Takde diskaun ke?" tanyaku kepada jurujual yang berdiri di situ. "Akak nak tak edisi lama? 50sen je sebuah kak. Sila masuk ke dalam" beria-ia jurujual itu mempromosikan majalahnya. Aku pun terus ke rak yang memuatkan edisi lama majalah Aulad itu. Ku ambil 8 keping dan membayar RM4 kepada jurujual tersebut. Anakku Nusaibah melihat dengan penuh gembira dan dan seperti biasa mengucapkan "Thank you, Ummi" setelah menerima majalah-majalah Aulad tersebut.

Sekembalinya aku dirumah, tiba-tiba aku terfikir tentang sesuatu dan berasa sangat malu dengan diri sendiri. Aku telah mempelajari sesuatu dari anakku Nusaibah. Nusaibah telah memberikan majalah Aulad kepada rakannya Nafisa dan kemudian Allah telah menggantikan pemberian ikhlasnya dengan 8 buah majalah Aulad khas untuknya. Memang ini semua adalah perancangan Allah. Allah berhak mengurniakan rezeki kepada hambaNya dan berhak menahan rezeki daripada hambaNya. Hadiah/infak yang diberikan dengan ikhlas akan dibalas dengan berganda-ganda oleh Allah. Syukur, mata hatiku tidak buta dan dapat mengambil ibrah (pengajaran) dari Hadiah Nusaibah.

Benarlah janji Allah...

"Perumpamaan orang yang menginfakkan hartanya di jalan Allah, seperti sebutir biji yang menumbuhkan tujuh tangkai, pada setiap tangkai ada seratus biji. Allah melipatgandakan bagi siapa yang Dia kehendaki, dan Allah Mahaluas, Maha Mengetahui" (Quran 2:261)

"Orang yang menginfakkan hartanya di jalan Allah, kemudian tidak mengiringi apa yang dia infakkan itu dengan menyebut-nyebutnya dan menyakiti (perasaan penerima), mereka memperoleh pahala di sisi Tuhan mereka. Tidak ada rasa takut pada mereka dan mereka tidak bersedih hati" (Quran 2:262)

Nukilan mata hati,
Ummu Nusaibah

2 comments:

  1. kak nida! hope everything was fine there. rindu kat muaz and nusaibah. kirim salam syg from aunty ema.

    luv from lesta. =)

    ReplyDelete
  2. alhamdulillah..
    tarbiyyah itu ada disekeliling kita walaupun dari sekecik ..rindu nusaibah dan muaz :)

    ReplyDelete